Lahirkan pemandu mahir, berhemah - The Blues

Berita Benar, Tepat dan Eklusif

12 November 2016

Lahirkan pemandu mahir, berhemah

Silibus Kurikulum Pendidikan Pemandu Baharu JPJ (KPP Baharu)

LANGKAH kerajaan untuk meminda kurikulum dan ujian pemanduan di Malaysia amatlah dialu-alukan. Persoalannya, adakah pembaharuan modul yang dilakukan akan turut disinambungkan dengan kaedah ujian?
Saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu mengambil ujian memandu di United Kingdom beberapa tahun lepas. Kurikulum di sana, sama ada dalam aspek teori dan praktikal, adalah lebih mudah jika dibandingkan di Malaysia.
Bagaimanapun, kaedah peperiksaan yang intensif serta inspektor ujian yang berintegriti dan tegas menyebabkan kadar yang lulus hanyalah di sekitar 40 peratus sahaja. Kadar pelajar yang lulus ujian pada kali pertama adalah lebih rendah daripada peratusan tersebut.
Terdapat pelajar yang pernah gagal ujian memandu hanya kerana satu kesalahan sahaja iaitu melanggar lopak yang menyebabkan air terpercik kepada pejalan kaki. Ada juga pelajar yang gagal semasa ujian tiga penjuru di jalan raya hanya kerana tidak mengendahkan anjing atau posmen yang berjalan di lorong pejalan kaki walaupun jaraknya boleh dikira selamat.

Begitulah terperincinya sistem ujian di sana yang bukan hanya mengambil kira faktor kecekapan dan teknik pemanduan yang betul, tetapi turut menekankan kepada pemanduan berhemah sebagai penentu utama berjaya atau gagalnya ujian memandu.
Saya pernah bertanya kepada rakan-rakan saya di sini, apakah bezanya garisan putus pendek dan garisan putus panjang, hakikatnya tiada seorang pun yang dapat menjawab persoalan tersebut. Jadi, di manakah kelemahan sebenar kurikulum memandu di Malaysia walaupun pelbagai input telah 'disumbatkan' di dalam minda para pelajar?
Justeru pembaikan yang hendak dilakukan perlulah relevan dan mempunyai input-input yang lebih berkesan dan bukan sekadar penambahan isi kepada modul sedia ada.
Selain itu, kerajaan atau sekolah memandu juga boleh mengambil inisiatif dengan memperkenalkan kelas pemanduan lanjutan untuk para pemandu yang telah mempunyai lesen memandu bagi menambahkan lagi kecekapan pemanduan sama ada di jalan raya atau 'off road'.
Inisiatif syarikat insurans pula ialah memberikan kadar insurans kenderaan yang lebih rendah bagi pemegang sijil pemanduan lanjutan tersebut. Ini merupakan langkah tambahan serta galakan kepada para pemandu di Malaysia untuk memperbaiki kemahiran serta tabiat pemanduan mereka. Dalam jangka masa panjang, ini boleh memberikan faedah kepada semua pihak, termasuk syarikat insurans itu sendiri.
Tidak salah untuk memperkenalkan kaedah ujian yang lebih ketat dan mempunyai peratusan lulus yang rendah sekiranya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ikhlas dan dapat memperkenalkan sistem yang efektif untuk mengubah sikap para pemandu di Malaysia.
Bagaimanapun, berbalik kepada diri sendiri, para pemandu juga perlu berusaha untuk mengubah tabiat pemanduan mereka. Tiada gunanya kita mempunyai modul yang terbaik di dunia sekiranya rakyat Malaysia yang bersopan santun dan baik budi, tetap menjadi orang yang 'busuk hati' apabila berada di jalan raya.


Sila Like Page Disini...







No comments:

Post a Comment